Soalan Lazim – Penangguhan Bayaran Balik dan Penjadualan Semula

Diterbitkan pada: 19/01/2021

Apakah yang dimaksudkan penangguhan pembayaran balik pembiayaan di bawah Inisiatif Prihatin Banjir TEKUN?

Ia adalah  penangguhan bayaran balik selama 6 bulan ( Januari hingga Jun 2021 ) kepada usahawan yang terlibat dengan bencana banjir ( premis perniagaan atau rumah kediaman ) yang mengakibatkan peminjam menghadapi kesukaran untuk menjelaskan bayaran balik pembiayaan.

Apakah kriteria kelayakan penangguhan ini dan bilakah bermulanya penangguhan ini?

Penangguhan ini boleh dimohon oleh usahawan yang masih dalam tempoh pembiayaan semasa berlakunya bencana banjir. Penangguhan akan diberikan bermula Januari 2021 dan berakhir pada Jun 2021.

Saya telah mendapat penangguhan bayaran balik kerana perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19 selama 3 bulan dari Disember 2020 – Februari 2021. Pada Januari 2021, premis perniagaan saya terlibat dengan banjir. Bolehkah saya memohon penangguhan di bawah inisiatif ini dan sehingga bila penangguhan ini akan berakhir?

Anda boleh memohon penangguhan ini. Namun begitu, disebabkan anda telah ditangguhkan pembayaran sehingga Februari 2021, penangguhan di bawah inisiatif ini diberikan untuk tempoh 4 bulan iaitu dari Mac 2021 – Jun 2021.

Apakah yang perlu dilakukan oleh usahawan untuk mendapatkan penangguhan ini?

Usahawan perlu melengkapkan Borang JPBB/BORANG/14 dan mengemukakan kepada Pejabat TEKUN Cawangan. TEKUN tidak melantik mana-mana agen atau pihak ketiga untuk proses penangguhan ini.

Bolehkah saya memohon penangguhan ini bersekali dengan penjadualan semula pembiayaan?

Anda boleh memohon penangguhan ini bersekali dengan penjadualan semula pembiayaan dengan melengkapkan Borang JPBB/BORANG/14. Walau bagaimanapun, usahawan yang telah menjadualkan semula pembiayaan menerusi Penjadualan Semula 2.0 tidak boleh menjadualkan lagi pembiayaan mereka. Sila rujuk Pejabat Cawangan untuk semakan / maklumat lanjut.

Adakah semua produk pembiayaan TEKUN boleh memohon penangguhan ini?

Semua produk pembiayaan layak memohon KECUALI produk Kontrak-i.

Bolehkah saya meneruskan pembayaran seperti biasa sepanjang tempoh penangguhan ini?

Anda boleh membuat meneruskan pembayaran menerusi Aplikasi TEKUN Pay (mobile apps), perbankan internet, CDM dan saluran pembayaran TEKUN yang lain.

Adakah rekod pembayaran balik saya akan terjejas dengan penangguhan ini?

Tidak, rekod pembayaran balik anda tidak terjejas sepanjang tempoh  penangguhan ini.

Adakah saya dikenakan sebarang caj tambahan kerana penangguhan ini.

Tiada sebarang caj tambahan dikenakan sepanjang penangguhan ini.

Adakah tempoh pembiayaan saya akan sama seperti asal atau dipanjangkan?

Tempoh pembiayaan anda akan dipanjangkan untuk 6 bulan. Sebagai contoh, pembiayaan anda akan tamat pada 30 November 2021 dan disebabkan penangguhan bayaran balik selama 6 bulan ini, tempoh pembiayaan anda akan dipanjangkan sehingga 31 Mei 2022.

Apakah yang perlu saya buat selepas berakhirnya tempoh 6 bulan penangguhan tersebut?

Setelah tamat tempoh penangguhan tersebut, pembayaran balik pembiayaan perlu dibuat seperti biasa ( mulai Julai 2021 ).

Saya tidak layak untuk penangguhan ini kerana tempoh pembiayaan telah tamat, apakah bantuan lain yang boleh diberikan oleh TEKUN?

Sekiranya pembiayaan anda telah tamat tempoh, anda dinasihatkan untuk membayar tunggakan tersebut atau membuat penjadualan semula pembiayaan di Pejabat TEKUN Cawangan.

Bilakah tarikh akhir permohonan penangguhan ini?

Permohonan boleh dibuat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh berlakunya bencana dengan mengemukakan Borang JPBB/BORANG/14 yang telah dilengkapkan kepada Pejabat Cawangan.