Konsep Syariah TEKUN Nasional

Diterbitkan pada: 10/07/2018
Dikemaskini pada: 24/09/2018

Pengiktirafan

TEKUN Nasional telah mendapat pengiktirafan patuh Syariah daripada juru perunding pembiayaan patuh Syariah iaitu Syariah Centre of Excellence Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 2017. Sehingga kini semua produk pembiayaan TEKUN yang ditawarkan kepada para usahawan adalah patuh Syariah sepenuhnya.

 

Konsep dan Kontrak Muamalat yang digunakan dalam produk pembiayaan TEKUN

Konsep utama yang digunakan dalam produk pembiayaan TEKUN adalah Tawarruq. Namun begitu, terdapat juga produk yang menggunapakai kontrak Qard.

Tawarruq

Bahasa : Wang perak, dirham atau logam perak

Istilah :Transaksi jual beli komoditi secara Murabahah yang berasaskan bayaran tangguh daripada penjual kepada pembeli, dan kemudiannya komoditi tersebut akan dijual semula secara tunai kepada pihak ketiga (selain daripada penjual asal) bagi mendapatkan tunai.

Secara dasarnya, tawarruq merupakan satu konsep atau sistem yang menggabungkan pelbagai jenis kontrak di dalamnya. Di antara kontrak yang terlibat adalah:

Bai’ Murabahah

Kontrak jual beli di mana harga kos barangan dan kadar keuntungan telah diketahui dan dipersetujui oleh pembeli. Bayaran harga jualan boleh dibuat secara penuh atau secara ansuran.

Wakalah

Kontrak yang melibatkan satu pihak (prinsipal/Muwakkil) mewakilkan satu pihak yang lain (wakil) bagi melaksanakan tugasan tertentu yang patuh Syariah, sama ada secara sukarela atau dengan bayaran upah.

Ta’widh

Ganti rugi yang dikenakan keatas kerugian sebenar yang dialami oleh TEKUN disebabkan oleh kelewatan pelanggan dalam melaksanakan bayaran balik pembiayaan. Pendapatan hasil ta`widh boleh dikira sebagai pendapatan TEKUN.

Gharamah

Denda atau penalti yang dikenakan ke atas pelanggan yang ingkar dalam membayar hutang. Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan TEKUN sebaliknya perlu disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal.

Ibra’

Rebat yang diberikan oleh TEKUN kepada pelanggan yang melunaskan pembiayaan lebih awal. Klausa Ibra’ diselaraskan dengan dokumen perjanjian bagi mengelakkan daripada berlakunya isu ketidakpastian (gharar) berhubung dengan hak pelanggan

Antara produk TEKUN yang menggunakan konsep ini ialah:

  • TEKUN Niaga
  • TEMAN TEKUN
  • TemanNita
  • Kontrak-i
  • Program Khas (Nelayan, Agropreneur Muda, Professional Muda, BekasTentera, PPUS, Mentor Mentee, TemanNita PNS)

Qard

Bahasa: Potong atau pinjam

Istilah : Kontrak pinjaman yang melibatkan dua pihak di mana jumlah bayaran balik pinjaman adalah sama dengan jumlah yang dipinjam.

Antara produk TEKUN yang menggunakan konsep ini ialah Program Khas (Azam Tani, PERHEBAT, DVS Johor, UKAS)

Konsep dan kontrak muamalat yang digunakan dalam produk AR-RAHNU TEKUN

Qard

Kontrak pinjaman yang melibatkan dua pihak di mana jumlah bayaran balik pinjaman adalah sama dengan jumlah yang dipinjam.

Rahn

Kontrak cagaran atau gadaian emas sebagai jaminan kepada pinjaman yang diambil. Cagaran ini akan dicairkan untuk menampung baki pinjaman sekiranya peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya.

Wadi’ah

Kontrak simpanan di mana pemilik menyerahkan emas kepada penyimpan untuk disimpan di tempat yang selamat.

Ujrah

Upah atau yuran yang dikenakan untuk perkhidmatan penyimpanan emas yang diberikan.

Kelebihan pembiayaan patuh syariah

  • Dapat menjauhkan diri daripada dosa dan bahana riba yang diharamkan Syarak.
  • Menjadikan pembiayaan yang diberikan kepada usahawan adalah halal di sisi Islam.
  • Menjadikan pendapatan yang diperolehi oleh TEKUN adalah halal.
  • Menjadikan rezeki yang diperolehi oleh usahawan lebih berkat.
  • Menjadikan hati lebih tenang.
  • Meningkatkan rezeki dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan.

Soalan Lazim

Adakah pembiayaan patuh Syariah ditawarkan kepada semua usahawan TEKUN Nasional di seluruh negara?

Ya. Pembiayaan patuh Syariah ditawarkan kepada semua usahawan tanpa mengira status agama dan kepercayaan. Ini kerana sesuatu pembiayaan akan memberikan kesan kepada dua pihak iaitu TEKUN dan usahawan yang mana TEKUN akan memperolehi keuntungan daripada pembiayaan yang diberikan. Untuk memastikan keuntungan adalah halal maka transaksi pembiayaan perlu dilakukan secara patuh Syariah.


Adakah kadar keuntungan pembiayaan patuh syariah lebih rendah daripada kadar faedah pinjaman konvensional?

Tidak semestinya. Namun begitu, pembiayaan patuh syariah dapat menjadi jalan keluar kepada sesiapa yang ingin menjauhi riba yang diharamkan oleh Syarak.


Apakah terminologi yang ditukar setelah menggunakan konsep patuh Syariah?

Antara perkataan yang ditukar adalah pinjaman kepada pembiayaan, caj kepada kadar keuntungan, insuran kepada takaful, rebat kepada ibra’, peminjam kepada penerima biaya atau usahawan, baki pinjaman kepada baki pembiayaan dan yuran kepada fi wakalah.