Soalan Lazim Skim Pembiayaan Usahawan Kraf

Diterbitkan pada: 21/09/2023
Dikemaskini pada: 21/09/2023

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Skim Pembiayaan Usahawan Kraf adalah skim yang menawarkan pembiayaan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan berkaitan kraf seperti:

  1. Pengusaha kraf tempatan sedia ada
  2. Usahawan baru dalam industri kraf
  3. Usahawan tempatan berskala kecil
  4. Usahawan yang memasarkan hasil kraf milik syarikat pengeluar

2. Apakah objektif Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Objektif pembiayaan adalah menyediakan pembiayaan modal bagi tujuan berikut:

  1. Merancakkan industri kraf di kalangan pengusaha kraf
  2. Membantu pengusaha kraf kategori mikro untuk mengembangkan perniagaan
  3. Membina rangkaian pengusaha kraf tempatan yang mapan
  4. Mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat dan graduan institut kraftangan
  5. Mengekalkan nilai budaya dan seni warisan tempatan

3. Apakah konsep Syariah yang digunakan bagi produk ini?

Konsep Syariah yang digunakan adalah Tawarruq dan Wakalah.

4. Berapakah nilai pembiayaan yang ditawarkan oleh Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Nilai pembiayaan yang akan disalurkan adalah dari RM1,000 sehingga RM100,000 bagi setiap usahawan mengikut kelayakan serta tertakluk kepada terma dan syarat-syarat asas TEKUN Nasional.

5. Apakah dokumen yang diperlukan untuk memohon Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Pemohon hanya perlu mengemukakan Borang Permohonan Pembiayaan dan dokumen berkaitan seperti berikut:

1.Salinan Kad Pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan) (depan dan belakang)
2.Lesen / Permit daripada PBT atau Daftar Perniagaan (SSM)

atau

Pengesahan menjalankan perniagaan daripada  Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Parlimen (MPUKP) / Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) / Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP)  Penghulu / Ketua Kaum (Sabah & Sarawak) atau kupon / permit perniagaan oleh Jawatankuasa Penganjur bagi perniagaan pasar malam, pasar tani atau pasar tamu

3. Gambar perniagaan pemohon yang menunjukkan aktiviti perniagaan yang sedang dijalankan
4. Salinan Penyata Bank akaun Simpanan / akaun Semasa yang mengandungi nama / syarikat pemohon, nombor akaun bank dan nama bank serta 3 bulan transaksi terkini
5. Dokumen tambahan (jika berkenaan).

6. Apakah syarat-syarat utama memohon Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Syarat asas pembiayaan adalah sama seperti syarat pembiayaan yang sedia ada seperti berikut:

  1. Bumiputera dan Warganegara Malaysia
  2. Berumur 18 – 65 tahun (tempoh pembiayaan tamat sehingga 65 tahun)
  3. Pemohon bukan seorang muflis
  4. Syarikat 100% hak milik Bumiputera dan warganegara Malaysia
  5. Mempunyai Lesen / Permit / Daftar Perniagaan (SSM) / Sijil Perakuan Amalan (Program Profesional Muda) yang sah dan masih belum tamat tempoh. Untuk informal, pengesahan menjalankan perniagaan daripada Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Parlimen (MPUKP) / Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) / Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Penghulu / Ketua Kaum (Sabah & Sarawak) atau kupon / permit perniagaan oleh Jawatankuasa Penganjur bagi perniagaan pasar malam, pasar tani atau pasar tamu
  6. Mempunyai tempat / lokasi perniagaan yang khusus / berniaga secara bergerak (mobile) / atas talian (online)
  7. Terlibat secara langsung / separuh masa dalam perniagaan
  8. Satu pembiayaan bagi satu isi rumah (kecuali perniagaan yang berasingan dan daftar perniagaan yang berlainan)
  9. Had modal berbayar tidak melebihi RM300,000
  10. Bagi pembelian kenderaan komersial / jentera berat, jumlah pembiayaan adalah 10% daripada harga kenderaan komersial / jentera berat (tertakluk kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan pemohon)
  11. Bagi pemilikan Perkongsian, perlu mendapat surat kebenaran rakan kongsi yang membenarkan pemohon membuat pembiayaan
  12. Bagi pemilikan Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd) wajib menyediakan Resolusi Syarikat mengikut format yang disediakan
  13. Aktiviti utama perniagaan usahawan mestilah patuh Syariah

7. Apakah jenis-jenis perniagaan yang boleh dipohon dengan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Pemohon mestilah menjalankan perniagaan berkaitan kraf seperti berikut:

  1. Tekstil – Batik, songket, tenunan, sulaman, tekatan dan jahitan
  2. Hasil Rimba – Kayu, buluh, rotan, bemban, mengkuang, daun getah, daun nipah, rumbia, bunga kering dan tempurung
  3. Hasil Logam – Perak, tembaga, piuter, besi, emas dan aluminium
  4. Hasil Tanah – Seramik, batu, kristal dan kaca
  5. Aneka Kraf – Manik, mutiara, cengkerang dan kulit

8. Berapakah kadar keuntungan bagi Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Kadar yang dikenakan adalah sebanyak 2% setahun.

9. Adakah diberikan moratorium bagi Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Tidak, tiada moratorium ditawarkan untuk skim pembiayaan ini.

10. Berapa lamakah tempoh proses kelulusan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Proses kelulusan dalam masa 7 hari bekerja (tertakluk pada terma dan syarat).

11. Adakah pembiayaan menerusi skim ini dilindungi takaful?

Pembiayaan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf juga dilindungi oleh Takaful dengan syarat masih dalam tempoh pembiayaan.

12. Adakah TEKUN melantik ejen / wakil untuk Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

TEKUN tidak melantik ejen / wakil untuk menguruskan permohonan pembiayaan ini.

13. Saya merupakan penerima biaya TEKUN sedia ada, adakah saya layak memohon Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

1.Penerima biaya Skim Pembiayaan TEKUN Niaga boleh memohon pembiayaan bertindih (overlap) melalui skim pembiayaan ini mengikut syarat-syarat pembiayaan overlap sedia ada.

2.Penerima sedia ada skim berikut adalah layak mohon dengan mewajibkan pembiayaan bertindih (overlap) dengan syarat tiada tunggakan:

  • Covid Business Recovery Micro (CBRM)
  • Covid Business Recovery Micro 2.0 (CBRM 2.0)
  • TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS)
  • Skim Pembiayaan Sektor Informal (SPIN)
  • Skim Pembiayaan Sektor Informal 2.0 (SPIN 2.0)
  • Skim Pembiayaan Sektor Informal 2.0 – TCorp (SPIN 2.0 TCorp)
  • Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM)
  • Skim Pembiayaan Informal & Mikro – TCorp (SPIM TCorp)
  • Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 1 / 2 / 3 /4

14. Adakah Skim Pembiayaan Usahawan Kraf ini mempunyai simpanan seperti skim pembiayaan TEKUN yang lain?

Penerima biaya diminta untuk membuat simpanan sebanyak 5% daripada nilai pembiayaan setiap tahun. Simpanan ini hendaklah dibuat bersama dengan bayaran jumlah pembiayaan.

15. Adakah saya layak memohon sekiranya tiada SSM atau lesen PBT?

Layak bagi pembiayaan RM 1,000 sehingga RM 5,000.

16. Bagaimana cara saya memohon Skim Pembiayaan Usahawan Kraf?

Boleh berhubung dengan Pegawai di Pejabat TEKUN Cawangan yang berhampiran dengan lokasi peniagaan.

17. Bagaimana saya boleh mengetahui alamat dan nombor telefon pejabat- pejabat TEKUN?

Maklumat lengkap Pejabat Cawangan TEKUN di seluruh negara boleh dilayari melalui link berikut : tekun.gov.my/ms/hubungi-kami/connections/